Permohonan Bantuan Kanak-Kanak (BKK) JKM 2023
Bantuan Kanak-Kanak (BKK) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui agensi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menawarkan 11 jenis bantuan bagi meringankan beban rakyat, terutamanya kumpulan sasar KPWKM. Antara jenis bantuan yang diberi ialah Bantuan Kanak-kanak.
Bergantung pada beberapa kriteria, kanak-kanak yang layak boleh memperoleh bantuan sebanyak RM150 sebulan (minimum) sehingga RM1000 sebulan (maksimum).
Baca Juga:
- Tarikh & Jadual Bayaran STR Fasa 4 Mengikut Bank Penerima
- Bantuan Am Kerajaan RM350 Dikreditkan Setiap Bulan
Objektif & Tujuan BKK JKM
Dikenali sebagai program Bantuan Kanak-Kanak (BKK JKM), ianya bertujuan membantu keluarga / penjaga kepada anak / kanak-kanak atau membantu anak / kanak-kanak yang tiada/kehilangan penjaga supaya dapat terus tinggal bersama keluarga dan meneruskan kelangsungan hidup tanpa menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak mengikut peringkatnya.
Selain itu, BKK JKM turut bertujuan membantu memelihara dan memperkukuhkan institusi keluarga yang terlibat dalam memberi jagaan sempurna kepada kanak-kanak termasuk kasih sayang dan perhatian.
Syarat Kelayakan Bantuan Kanak-kanak JKM
- Warganegara dan bermastautin di Malaysia
- Keluarga/penjaga yang memberi jagaan kepada kanak-kanak dan pendapatan isi rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa
- Kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah
- Remaja berumur 18 tahun ke atas boleh dipertimbangkan jika bersekolah sehingga tamat menengah atas
- Pelaksanaan bantuan kebajikan adalah selaras dengan Senarai Bersama (Concurrent List) antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri, yang termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia di bawah Senarai 3 – Jadual Kesembilan Senarai Perundangan
Kadar Bayaran Bantuan Kanak-Kanak (BKK)
Minimum sebanyak RM150 sebulan seorang sehingga maksimum sebanyak RM1000 sebulan mengikut pecahan berikut :
- RM200 seorang bagi anak berumur 6 tahun & ke bawah;
- RM150 seorang bagi anak berumur 7 tahun hingga 18 tahun; dan
- Kadar bantuan maksimum RM1000/keluarga sebulan
Cara Permohonan Bantuan Kanak-Kanak (BKK)
- Pengendalian permohonan bantuan kewangan dibuat di peringkat Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan / Bahagian di seluruh negara
- Setiap permohonan yang didaftarkan akan dijalankan siasatan untuk penilaian (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon; dan
- Urusan ini bersesuaian dengan prinsip penyampaian bantuan yang berdasarkan kepada kelayakan dan bukan hak
- Untuk memudahkan urusan pentadbiran, pemohon diminta membawa dokumen sokongan semasa hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Jajahan/Bahagian seperti:
- Salinan Kad Pengenalan diri pemohon;
- Salinan Kad Pengenalan suami/isteri/ibu/bapa/anak yang tinggal bersama;
- Salinan sijil kelahiran anak-anak/ahli keluarga yang tinggal bersama;
- Salinan penyata gaji (jika ada); dan
- Lain-lain dokumen yang berkaitan
- Pemohon boleh melengkapkan borang berikut:
– JKM 18 Borang Permohonan Bantuan; atau
– JKM 20 Borang Kaji Semula Bantuan
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut, sila layari Laman Rasmi JKM atau Portal Manfaat Bajet 2023 di pautan berikut: https://budget.mof.gov.my/manfaat/faq/bkk.html